Salamullahialaikum.. =>
Syukur alhamdulillah.. Dengan limpahan kurnia Allah dapat lagi kita bernafas di hari yang indah ini. Di kesempatan ini Hamba ingin berkongsi sebuah cerita yang mana Hamba dengar di sebuah ceramah agama suatu ketika dahulu. Ceritanya ada unsur-unsur angker sikit tapi mungkin kurang menarik dan mungkin jugak menarik. Terpulang kepada anda untuk menilainya..
Cerita ini berlaku di utara semenanjung atau senang cakap negeri jelapang padi, Kedah. Lebih spesifik di Maktab Perguruan di Sungai Petani. Ada seorang gadis yang bernama Maznah (bukan nama sebenar) merupakan guru pelatih di institusi perguruan tersebut. Beliau merupakan seorang guru pelatih perempuan yang mampu mencairkan ramai guru pelatih lelaki mahupun pensyarah lelaki di maktab tersebut. Beliau juga sering dicemburui oleh rakan-rakan wanitanya yang lain. Mana tidaknya, dah la cantik, baik budi pekerti dan sopan pulak tu.. Pakej beb!! Kulitnya putih gebu, mukanya licin......(dah-dah... kalaw macam ni smpai esok pon tak habih..mangkaq!!)
Nak dijadikan cerita, maktab perguruan tersebut mengadakan rombongan ke Gunung Jerai. Lalu bergeraklah rombongan yang seramai 40 orang itu berbondong-bondong ke Gunung Jerai. Selama 2 jam perjalanan, tak henti-henti si Maznah asyik diperhatikan oleh pemuda-pemuda yang turut serta dalam rombongan tersebut. Tak senang duduk dibuatnya si Maznah tadi.. Setelah mengharungi perjalanan selama 2 jam yang terhinggut-hinggut dan terhincut,(almaklumlah..naik bas TATA) maka sampailah mereka ke destinasi yang di tujui. Untuk pengetahuan, rombongan ini diketuai oleh seorang pensyarah lelaki yang bernama Encik Mail..
Setelah semua peserta telah dibahagikan kepada 4 kumpulan lalu bergeraklah mereka kedalam hutan Gunung Jerai yang amat mempesona mata yang memandang. Maznah ketika itu berada dalam kumpulan 3 yang diketuai oleh Encik Mail. Ketika berada di dalam hutan, mulut para peserta rombongan tak henti-henti menyebut 'wow!!'.. Indahnya dunia ciptaan Ilahi.. Subhanallah!!
Ketika mereka sedang asyik meneroka hutan tersebut, Maznah terjumpa sebuah pokok bunga yang cantik yang diberi nama BUNGA HARUM SUNDAL MEWANGI. Lalu beliau memetik bunga tersebut dan ingin membawanya pulang. Namun beliau tidak sedar bahawa kumpulannya kian jauh darinya. Hari semakin senja, lalu ketua rombongan membuat keputusan untuk bergerak pulang. Encik Mail adalah orang terakhir yang menaiki bas tersebut. Setelah penat menempuh perjalan, pemandu bas mengambil keputusan untuk berhenti seketika di sebuah RnR dan bercadang untuk makan disitu.
Setelah semuanya turun, Encik Mail tidak terlihat kelibat Maznah. "Mungkin dia dah turun kot.." bisik hati Encik Mail untuk menenangkan hatinya.. Setelah bergerak ke kedai makan, beliau mencari-cari Maznah namun tidak kelihatan. Beliau mulai risau da terus mengarahkan seorang balacinya, Zambri Mamak untuk melihat kalau-kalu Maznah tidak turun dari bas. "Maznah tak dak, cikgu.." kata Zambri Mamak. Encik Mail naik gabra dan mulai risau bercampur sasau.. Tanpa melengahkan masa, beliau berlari ke atas bas dan melihat tempat duduk Maznah yang hanya di'duduki' oleh BUNGA HARUM SUNDAL MEWANGI.. "Tadi hangpa ada nampak MAznah dak?!" tanya Encik Mail kepada pelajar-pelajarnya. "Tadi ada.." jawab meraka. Setelah membuat pemeriksaan, terbukti Maznah tiada!!
Di hutan Gunung Jerai, Maznah masih lagi sibuk memetik bunga-bunga hutan. 'Encik Mail' yang dari tadi membisu asyik mengekori beliau. "Cik Mail, dah nak malam ni, takkan kita nak tidoq sini kot??" tanya Maznah. Namun, 'Encik Mail hanya mendiamkan diri dan bergerak dicelah-celah pokok lalu ghaib.. Melihat keadaan itu, Maznah jadi panik dan baru dia sedar bahawa dia telah ditinggalkan. Keadaan sekeliling hanyalah pokok-pokok besar yang menyeramkan.Maznah terus lari dan lari. Lalu beliau terjumpa sebuah pondok kecil yang di dalamnya terdapat lampu minyak tanah yang samar-samar. Mahu atau tidak mahu, beliau terpaksa pergi dan berlindung disitu. setelah diketuk pintu, maka keluarlah seorang lelaki yang tampan. Maznah menceritakan segalanya kepada lelaki tersebut lalu bersetuju membenarkan Maznah tinggal disitu.
Pada malam tersebut, tidurlah Maznah di dalam pondok tersebut yang amat sempit. Terdetik di hati beliau "Kalaulah lelaki ini ingin memperkosaku, nescaya aku tidak mampu melawan." Lelaki tadi yang asyik membelakangi Maznah tiba-tiba bangun dan membuka pintu pondoknya. Matanya memandang Maznah dengan seribu makna, perasaan takut Maznah memuncak dan beliau bertawakkal kepada Allah. Dengan tidak semena-mena lelaki tersebut membakar tangannya dengan pelita. Jelas dimata Maznah bagaimana tangan lelaki tadi dibakar sambil lelaki itu menjerit jerit. Oleh kerana terlalu takut, Maznah jatuh pengsan dan tidak sedarkan diri.
Keesokan harinya, Maznah terjaga dan melihat lelaki itu tiada di dalam pondok tersebut. Setelah menjenguk keluar, beliau terlihat lelaki tersebut dengan tangan berbalut. "Jom aku hantaq hang keluaq dari hutan ni." kata lelaki tersebut. Dengan air liur basi masih bertempek, Maznah menuruti lelaki tersebut dan setelah sejam perjalanan mereka sampai ke kaki gunung. Kebetulan rombongan Encik Mail dan pasukan mencari baru sampai dan baru nak start operasi. Setelah itu, Maznah dihantar pulang kerumah. Setelah berjumpa ibu bapanya, Maznah menceritakan segalanya kepada bapanya. Bapanya ingin menyiasat siapakah lelaki yang telah menyelamatkan Maznah sebenarnya. Adakah dia seorang lelaki yang baik??
Setelah lima hari kejadian itu berlalu, bapa Maznah yang juga seoarang pemburu telah masuk ke hutan Gunung Jerai dan menyamar sebagai seorang yang sedang sesat lalu pergi ke pondok lelaki tersebut. Setelah memperkenalkan dirinya, beliau terlihat tangan lelaki itu yang berbalut lalu bertanya.. "Tangan hang pasai pa??". Lelaki itu pun menjawab, "Lima hari yang lalu, telah datang kepadaku seorang gadis yang cantik rupanya, indah bentuk tubuhnya, merdu suaranya, lemah gemalai pergerakannya dan mampu meruntun jiwa mana-mana lelaki yang melihatnya. Dia telah sesat dan aku terpaksa menumpangkannya tidur di dalam pondokku yang kecil ini.
"Apabila berdua-duaan seorang lelaki dan wanita maka datanglah yang ketiga, iaitu syaitan. Pada malam itu aku hampir memperkosanya, mujurlah ada sebuah pelita lalu aku bakar tanganku. Setelah itu aku sedar bahawa api dunia ini hanya 70 ribu kali ganda lebih sejuk dari api neraka. Lalu terbatallah niatku untuk memperkosanya.." Setelah mendengar cerita lelaki tersebut, bapa Maznah telah mengambil keputusan untuk mengahwinkan lelaki tersebut dengan Maznah..
Sesungguhnya Allah telah berfirman maksudnya:
"Dan janganlah kamu menghampiri zina. Sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji dan suatu jalan yang buruk." Al-Israk:ayat 32
10 tahun yang lalu
Tiada ulasan:
Catat Ulasan