ADAB menuntut ilmu hendaklah ikhlas dan diniatkan dalam hati kerana Allah. Apabila seseorang menuntut ilmu hanya untuk mendapatkan gelaran, kedudukan atau ingin menjadi orang dipandang, maka Rasulullah SAW memberi peringatan.
Baginda SAW bersabda yang bermaksud:
“Barang siapa menuntut ilmu yang dipelajari hanya kerana Allah sedangkan ia tidak menuntutnya kecuali untuk mendapatkan mata benda dunia, ia tidak akan mendapat bau syurga pada hari kiamat.” (Hadis riwayat Ahmad, Abu Daud dan Ibnu Majah)
Jika ada yang berhajat menuntut ilmu untuk mendapatkan syahadah (sarjana muda atau doktor falsafah) kerana menjadi peraturan yang tertulis hanya mereka yang memiliki pendidikan tinggi boleh menyampaikan atau mengajar ilmu, niat itu termasuk dalam niat yang benar.
Menuntut ilmu dengan niat untuk menghilangkan kebodohan diri dan selepas memiliki ilmu kita harus mengajarkan kepada orang lain untuk menghilang kebodohan daripada diri mereka. Mengajarkan kepada orang lain itu dengan pelbagai cara membolehkan orang lain mendapat manfaat ilmu kita.
Apakah disyaratkan untuk memberi manfaat kepada orang lain kita perlu duduk di masjid atau memberi manfaat dengan ilmu itu pada setiap saat? Jawapan yang benar adalah yang kedua kerana Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sampaikanlah dariku walaupun cuma satu ayat.” (Hadis riwayat Bukhari)
Imam Ahmad berkata: “Ilmu tidak ada bandingannya apabila niatnya benar. Muridnya bertanya: Bagaimanakah yang demikian itu? Beliau menjawab: ia berniat menghilangkan kebodohan daripada dirinya dan orang lain.”
Menjadi keharusan bagi penuntut ilmu berniat menuntut ilmu untuk membela syariat kerana kedudukan syariat sama dengan pedang jika tidak ada seseorang menggunakannya ia tidak bererti.
Penuntut ilmu harus membela agamanya daripada hal yang menyimpang daripada agama. Perkara itu hanya boleh dilakukan jika seseorang itu memiliki ilmu yang benar, sesuai petunjuk al-Quran dan as-Sunnah.
Apabila ada perbezaan pendapat, hendaknya penuntut ilmu menerima perbezaan itu dengan lapang dada selama perbezaan itu pada persoalan ijtihad, bukan akidah kerana persoalan akidah adalah masalah yang tidak ada perbezaan pendapat di kalangan salaf.
Berbeza dalam masalah ijtihad, perbezaan pendapat sudah ada sejak zaman sahabat, bahkan pada masa Rasulullah SAW masih hidup tetapi jangan sampai menghina atau menjelekkan orang lain yang kebetulan berbeza pendapat dengan kita.
Mengamalkan ilmu yang diperoleh termasuk adab terpenting bagi penuntut ilmu kerana amal adalah buah daripada ilmu, baik akidah, ibadah, akhlak mahupun muamalah. Orang yang memiliki ilmu seperti orang memiliki senjata yang tidak akan ada gunanya kecuali diamalkan (digunakan).
Kebenaran dan sabar termasuk adab paling penting bagi kita sebagai penuntut ilmu. Mencari kebenaran daripada berita yang sampai kepada kita yang menjadi sumber hukum. Ketika sampai kepada kita sebuah hadis misalnya, kita harus meneliti lebih dulu kesahihan hadis itu.
Jika menemui bukti bahawa hadis itu sahih, berusaha lagi mencari makna (pengertian) hadis itu.
10 tahun yang lalu
Tiada ulasan:
Catat Ulasan